Penyakit narkolepsi boleh menyebabkan penghidap tertidur tanpa mengira situasi.
Ketika memandu dan berhenti di lampu isyarat, Liza, 20, secara
tiba-tiba tertidur. Apabila sedar, dia dapati dirinya dikelilingi orang
ramai yang menyangka dia pengsan.
Liza sendiri bingung bagaimana dia boleh terlena selama 15 minit, sedangkan sudah mendapat rehat dan tidur yang cukup.
Akhir-akhir ini, Liza asyik tertidur pada waktu siang, walaupun tidak
mengalami masalah tidur waktu malam. Pernah ketika mengemas rumah, dia
tertidur sehingga dikejutkan suami.
Malah, ketika sedang berbaris panjang untuk mengeluarkan duit
di mesin juruwang automatik (ATM), dia tertidur dan tersedar selepas
dikejutkan.
Akhirnya, Liza bertemu pakar neurologi dan didiagnosis menghidap
narkolepsi, sejenis penyakit gangguan tidur yang menyebabkan individu
boleh tidur secara tiba-tiba tanpa sebab.
Bukan sebab keletihan
Perunding Pakar Neurologi, Pusat Perubatan Pantai Hospital Kuala
Lumpur, Dr Sng Kim Hock, berkata narkolepsi ialah penyakit gangguan
tidur yang boleh berlaku kepada manusia atau haiwan.
Dr Sng berkata, jika individu mudah tidur disebabkan tekanan atau letih bekerja, bukan penghidap narkolepsi.
Individu mengalami narkolepsi, biasanya tidak dapat menahan rasa mengantuk yang datang secara tiba-tiba.
“Ini menyebabkan mereka akan tertidur tanpa mengira situasi dan
keadaan atau dalam apa aktiviti seperti berjalan, mengemas rumah,
memandu atau duduk dan menulis. Bagi yang sedang berdiri, mereka boleh
rebah secara mengejut apabila mata mula terpejam. Selepas tertidur,
mereka akan sedar semula seperti biasa,” katanya ketika di temui,
baru-baru.
nukilan dari:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penyakittidurtiba-tiba